Sunday, March 25, 2007

Perkembangan Moral

Tahap Perkembangan Moral bagi Kanak-kanak Pertengahan dan Akhir

Moral adalah merujuk kepada sikap yang dimiliki oleh seseorang dan ianya wujud dalam setiap diri manusia. Begitu jugalah dengan kanak-kanak pertengahan dan akhir. Bagi kanak-kanak pertengahan dan akhir, pembentukan moral atau sikap mereka sememangnya telah wujud dan lazimnya pembentukannya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh individu yang berada di sekekliling mereka lebih-lebih lagi keluarga, rakan-rakan dan masyarakat .

Pada peringkat ini, kita sememangnya dapat melihat bahawa moral kanak-kanak sangat memainkan peranan dalam membentuk jati diri kanak-kanak tersebut. Ini kerana, pembentukan moral yang positif akan mendorong tingkah-laku yang juga positif dalam diri kanak-kanak berkenaan. Sebagai contoh, pada tahap umur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak mula diajar agar membentuk sikap yang positif iaitu cuba menyesuaikan diri walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Hal ini penting kerana jika mereka tidak membentuk moral yang bersifat positif, maka sudah tentu mereka akan mengalami masalah dalam pergaulan seharian.

Selain itu, kanak-kanak pada usia ini akan menonjolkan sikap seperti dengan cara menonjolkan minat untuk mengenali di antara satu sama lain. Secara tidak langsung, hubungan yang erat di antara mereka dapat dijalinkan. Dalam hal ini, kita dapat melihat apabila dengan mudah mereka boleh mengenali di antara satu sama lain dan seterusnya berinteraksi antara sesama mereka. Selain itu, keadaan lain dapat kita lihat apabila mereka sama-sama turut bermain atau berbincang dalam sesuatu perkara terutama ketika proses pembelajaran berlangsung. Kesannya, mudah untuk mereka menerima setiap pelajaran yang disampaikan.

Dalam pada itu, kanak-kanak pertengahan dan akhir turut mampu dalam melakukan tugas-tugas seharian apabila disuruh oleh ibu-bapa mereka. Ini kerana, mereka beranggapan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas yang bersesuian dengan tahap umur mereka. Seandainya tugasan yang diberikan berjaya dilakukan, mereka akan menikmati kepuasan di tahap yang maksimum dan sebaliknya jika tugasan tersebut gagal. Sebagai contoh, kanak-kanak pada tahap ini boleh melakukan tugas-tugas seharian seperti mengemas dan boleh berdikari tanpa memerlukan bantuan daripada kedua orang tua mereka dan sedikit sebanyak mereka mampu membantu ibu khususnya dalam melakukan tugas-tugas asas dalam kehidupan seharian.

Selain itu, wujudnya sikap sayang-menyayangi dalam diri mereka. Ini kerana kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir dapat menilai segala bentuk perhatian yang diberikan khususnya dalam kalangan keluarga mereka. Di sini kita dapat melihat tautan yang erat antara anak-anak dengan ahli keluarga yang lain. Sedikit sebanyak, keadaan ini turut sama membentuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak berkenaan iaitu sayang-menyayang, hormat-menghormati serta bantu-membantu yang bukan sahaja dalam keluarga malah melibatkan masyarakat sekeliling.

Di samping itu, jika kita tinjau lagi, kanak-kanak pada pada usia ini cenderung memelihara binatang peliharaan seperti kucing dan mereka sangat menitikbertakan tentang aspek penjagaan kesihatan binatang peliharaan mereka. Keadaan ini jelas menonjolkan bahawa mereka sangat peka dalam setiap perkara.





Teori Perkembangan Moral mengikut Lawrence Kolhberg

Kolhberg menerangkan bahawa banyak teori yang menerangkan tentang tahap perkembangan kanak-kanak pertengahan dan akhir antaranya ialah teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1980-1986) yang mengutamakan pertimbangan, pemikiran atau penaakulan moral, teori psikoanalisi pula yang menerangkan tentang aspek-aspek perasaan atau emosi dan pendekatan teori pembelajaran yang hanya aspek tingkah-laku.

Walau bagaimanapun, Kolhberg (1972) dianggap sebagai pelopor utama dalam menghuraikan tentang teori perkembangan moral. Ini kerana, beliau pernah menjadi professor di Universiti Hervad dan mula popular sekitar tahun 1970. Mengikut Kolhberg, beliau membahagikan perkembangan moral kepada 3 peringkat yang utama dan setiap peringkat dipecahkan kepada 2 tahap. Bagi kanak-kanak pertengahan dan akhir, Kolhberg menerangkan bahawa mereka berada pada pada peringkat prakonvensional dan konvensional yang merangkumi usia 6 hingga 12 tahun.

Bagi peringkat prakonvensional, ianya dirangkumi tahap 1 yang mewakili orientasi dendaan dan kepatuhan yang menegaskan bahawa undang-undang perlu dipatuhi supaya tidak dikenakan denda serta segala tindak tanduk adalah secara fizikal manakala tahap 2 pula merangkumi orientasi ganjaran peribadi yang menjelaskan tentang keperian peribadi menentukan betul atau tidak sesuatu perkara yang dilakukan dan banyak dipengaruhi oleh peribadi individu berkenaan.

Bagi peringkat konvensional pula, tahap yang mewakilinya merangkumi tahap 3 dan 4. Bagi tahap yang ke 3, beliau ada menegaskan bahawa nilai baik adalah berdasarkan pandangan serta setiap perlakuan yang baik akan dinilai dan jika ianya benar, ganjaran akan diberikan. Seterusnya, bagi tahap yang ke 4 beliau menegaskan bahawa seluruh ahli masyarakat mesti berpandukan kepada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dan hal ini penting dalam menjamin kehidupan seharian.

Dalam masa yang sama, Kolhberg ada menerangkan bahawa tingkah laku moral kanak-kanak kebiasaannya adalah selari dengan tahap penaakulan moral dan kanak-kanaklah yang akan mengintegrasikan peraturan moral tersebut. Selain itu, beliau turut berpendapat wujudnya perbezaan dalam kalangan individu mengenai pandangan tentang aktiviti menipu serta ada menghuraikan bahawa agresif lawannya asertif serta menerangkan tentang sikap pembuli dan mangsa yang dibuli.

Kesimpulannya, pembentukan moral kanak-kanak yang lebih ke arah sudut yang positif akan mempengaruhi minda dan hidup kanak-kanak itu sendiri khususnya kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir.

No comments: