Wednesday, March 28, 2007

Perkembangan Sosial

Sosial-ekonomi Status

  • Kanak-kanak dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah biasanya tinggal di kawasan yang mempunyai ramai orang miskin dan hidup dalam keadaan susah dan sentiasa berjimat-cermat.
  • Isi rumah yang ramai menyebabkan kedua ibu bapa terpaksa bekerja,ini menyebabkan kanak-kanak perlu menguruskan dan menjaga keselamatan diri mereka sendiri di usia muda.
  • Ibu bapa mereka kurang memberi perhatian terhadap mereka terutama dalam aspek keselesaan dan kesihatan fizikal mereka. (Jersild, 1949).
  • Mereka mudah terdedah kepada penyakit, kematian, perselisihan, keciciran dalam pelajaran dan sebagainya.
  • Kanak-kanak miskin ini lebih agresif dan bersifat menghukum dalam membentuk moral mereka. Mereka takut dengan kepercayaan tahayul dan keadaan berbahaya seperti pergaduhan,mabuk,budak jahat, dan sebagainya.
  • Kurang pandai dalam pelajaran kerana kurangnya keperluan belajar.
  • Kanak-kanak dari golongan berada pula lebih diberi penekanan dalam hal penjagaan diri dan personality mereka.
  • Mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih, selesa dan selamat.
  • Pencapaian mereka dalam pelajaran di sekolah adalah lebih baik berbanding kanak-kanak sederhana (Almy and her associates, 1966).



Corak Keibubapaan dan Perkembangan Sosial Kanak-Kanak

Diana Baumrind (1967:1971) menegaskan bahawa terdapat perkaitan rapat antara cara dan gaya setiap ibubapa dalam membimbing anak-anak mereka dengan perkembangan sosial dan konsep kendiri kank-kanak. Mengikut Baumrind lagi, terdapat tiga jenis cara dan gaya keibubapaan iaitu authoritarian, permitif dan autoritatif. Ketiga-tiga jenis ini mempunyai perbezaan iaitu berasaskan peraturan keluarga, kawalan pada tingkah laku kanak-kanak dan tahap penerimaan perbincangan dan sikap bertolak ansur ibubapa.





Authoritarian

Kanak-kanak dibesarkan oleh ibubapa mereka dengan dikenakan kawalan yang ketat pada tingkah laku anak dengan membuat peraturan-peraturan dan memastikan nilai-nilai dipatuhi oleh anak-anak di samping tidak membenarkan anak menyoal peraturan-peraturan dan nilai tersebut. Mereka juga tidak mengamalkan sikap bertolak ansur secara lisan dan percaya bahawa kanak-kanak harus menerima perintah tanpa soal. Apa saja keputusan yang dibuat oleh ibubapa tidak boleh dibantah. Ibubapa jenis ini biasanya ingin membentuk, mengawal dan menilai tingkah laku anak mereka mengikut piawaian mutlak. Pematuhan anak dinilai tinggi dan bagi membetulkan tingkah laku anak, ugutan mengenakan kuasa fizikal dilakukan. Mereka lebih cenderung menggunakan kaedah disiplin yang bersifat hukuman disebabkan mereka menitik beratkan kepatuhan anak. Ibubapa jenis ini tidak bersifat responsif terhadap anak, bersikap tidak fleksibel dan ketat dalam mengawal tingkah laku anak mereka. Oleh yang demikian mereka tidak cenderung untuk menggalakkan anak mereka berdikari.





Permisif

Cara hidup keibubapaan dicirikan oleh komunikasi yang terbuka dan ibubapa kurang menekankan tingkah laku anak. Ibubapa jenis ini tidak membuat banyak permintaan terhadap anak mereka dan memberikan anak mereka kebebasan sepenuhnya. Mereka kurang menggunakan kawalan, penjelasaan, kuasa atau kekerasan untuk mengawal anak. Ibubapa jenis ini berkomunikasi secara terbuka dan tidak berusaha untuk membentuk tingkah laku anak mereka. Mereka berperanan sebagai sumber yang mematuhi kehendak anak dan bukan sebagai ajen-ajen aktif yang terlibat dalam penentuan tingkah laku anak. Mereka sering membiarkan anak mengatur aktiviti sendiri dan mengelakkan daripada menganakan kawalan terhadap anak. Walaubagaimanapun ibubapa jenis ini cuba menyediakan keadaan yang membimbangkan untuk perkembangan kanak-kanak tetapi gagal untuk memberi had batasan yang tegas kepada anak atau menghendaki anak bertingkah laku matang.


Autoritatif

Peraturan dan had batasan tingkah laku tertentu dikenakan oleh ibubapa tetapi membenarkan komunikasi yang bersifat terbuka dan anak-anak juga turut diberi kebebasan untuk membuat keputusan sendiri dalam beberapa perkara. Ibubapa jenis ini bersifat fleksibel dan rasional dalam sikap dan pandangan serta menggalakkan kanak-kanak supaya berdikari. Walaupun mengenakan kawalan yang tegas tetapi memberikan kebebasan beransuran yang bersesuaian dengan tahap kemurungan anak.

Tuesday, March 27, 2007

Sekolah

Permulaan Persekolahan



  • Kebanyakkan kanak-kanak akan tertekan dengan keadaan atau persekitaran yang baru.
  • Ada juga yang sudah tidak sabar-sabar lagi dan sudah lama menunggu masa untuk memasuki alam persekolahan.
  • Kanak-kanak yang sukar untuk menerima keadaan baru akan menunjukkan pelbagai sikap di minggu pertama persekolahan seperti tidak mahu berenggang dengan ibunya, menangis, membuat kecoh dan sebagainya (Macfarlane,1954).
  • Kanak-kanak yang pernah belajar di taman asuhan kanak-kanak akan menunjukkan sikap yang lebih baik dan lebih mudah belajar berbanding kanak-kanak lain yang akan mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan dan menenangkan diri mereka di sekolah baru (Kraus,1956).



Masa kanak-kanak ke sekolah

  • Pada umur 6 tahun, pertumbuhan badan kanak-kanak secara relatifnya telah seimbang.

  • Pertumbuhan fizikal ini berkembang seiring dengan pertumbuhan psikologi mereka.

  • Kanak-kanak ini sudah bersedia untuk ke sekolah.

  • Jiwa kanak-kanak ini sudah mula untuk matang.
  • Kriteria kematangan kanak-kanak:

  • Kanak-kanak sudah dapat kerjasama dalam satu kumpulan kanak-kanak yang lain dan tidak begitu bergantung kepada ibu bapanya lagi dalam kegiatan yang dilakukanya.

  • Mereka sudah dapat menyedari akan kepentingan orang lain, ‘to take and give’ untuk masuk ke alam persekolahan (sekolah rendah).





Perkembangan Mental Kanak-kanak di Sekolah

~ Sudah ada keyakinan yang tinggi dalam pembentukan perkembangan intelekual mereka dan biasanya diluahkan dalam bentuk pertanyaan dan sifat ingin mencuba.

~ Tenaga yang melimpah sehingga kadang-kadang mereka tidak peduli yang mereka telah keletihan. Tenaga ini juga merupakan sumber potensi dan pendorong untuk mereka belajar.

~ Sifat sosial yang berkembang pesat ini menyebabkan mereka sering berada dalam kalangan rakan sebaya mereka sehinggakan mereka lebih pentingkan keperluan rakan sebaya mereka berbanding keluarga mereka.

~ Ini kerana mereka telah mempunyai ramai kawan di sekolahnya.

~ Sudah dapat berfikir secara abstrak dan dapat menerima perkara-perkara seperti teori-teori atau norma-norma tertentu.

~ Hobi dan minat terhadap sesuatu perkara seperti gemar bermain bola, pelihara binatang dan sebagainya menyebabkan mereka lalai menjalankan tugasnya sebagai pelajar.

Rakan

  • Kanak-kanak pertengahan dan akhir banyak menghabiskan masanya dengan berinteraksi dengan rakan sebaya mereka.Menurut penelitian yang dilakukan oleh Santrock, 2002, kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun, menghabiskan 40% waktu siangnya untuk berinteraksi dengan rakan sebayanya.Kegiatan yang biasanya dilakukan adalah bermain, berjalan-jalan dan bersosial. Kebanyakan interaksi berlaku di luar rumah ( walaupun dekat dengan rumah ), lebih terjadi di kawasan-kawasan peribadi daripada di kawasan-kawasan awam, dan sering terjadi di antara kanak-kanak yang sama jenis jantina daripada kanak-kanak yang berbeza jenis jantina.
  • Rakan sebaya mempunyai peranan penting dalam proses sosialisasi kanak-kanak. Ia berkaitan dengan penerapan nilai yang dapat diterima oleh persekitaran sosian salam suatu permainan. (Hetherington & Parke, 1999).Rakan sebaya merupakan sumber informasi bagi seseorang kanak-kanak untuk mengetahui nilai dan bagaimana memupuk sikap baik ketika bermain bersama rakan.
  • Proses sosialisasi pada rakan sebaya dilakukan melalui modeling dan reinforcement. Kanak-kanak lain berfungsi sebagai social model yang akan ditiru oleh kanak-kanak dan membentuk perilaku mereka. Rakan sebaya juga memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak mengembangkan self image dan self esteem kerana ia memberikan suatu standart bagi seorang kanak-kanak dalam menilai dirinya sendiri.
  • Hasil penelitian menunjukan bahawa kanak-kanak menggunakan perbandingan sosial (social comparison) dengan kelompok rakan sebaya. Proses ini merupakan dasar perbentukan self image dan self esteem kanak-kanak (Hetherington & Parke, 1999). Apabila mereka merasakan dirinya mempunyai kemampuan yang sama atau lebih dari rakan sebayanya, maka terbentuklah self image yang positif dan sebaliknya bila kanak-kanak merasa kemampuan dirinya berada dibawah rakan sebayanya, maka terbentuklah self image yang negatif.Selain itu, interaksi dengan rakan sebaya juga berperanan dalam mengembangkan self control dan kemampuan mereka untuk berfikir atau memodifikasi masalah perilaku. (Hetherington & Parke, 1999).


    Kognisi Sosial


  • Kognisi sosial pada tempoh ini semakin berkembang dan mempengaruhi perilaku kanak-kanak. Kognisi ini berkaitan dengan bagaimana kanak-kanak mengolah maklumat yang berkaitan dengan persekitaran sosial mereka.


  • Pemprosesan maklumat sosial secara tepat akan membantu kanak-kanak ini dalam menentukan dan mencapai tujuan-tujuan peribadi dan personality seperti ingin mengetahui bagaimana ingin memulakan dan memelihara suatu ikatan sosial.


  • Tingkat kognisi sosial ini akan mempengaruhi keterampilan dan potensi sosial kanak-kanak yang akan berdampak kepada penerimaan kanak-kanak itu oleh rakan sebayanya. (Santrock, 2002: Hetherington & Parke 1999).


  • Kanak-kanak yang mempunyai keterampilan sosial yang baik akan diterima oleh rakan sebaya, manakala kanak-kanak yang berketerampilan sosial rendah akan diabaikan atau ditolak oleh rakan sebaya.


  • Kanak-kanak yang diterima biasanya akan mengembangkan sikap prososial dan mampu memelihara hubungan dengan rakan sebaya, manakala kanak-kanak yabg ditolak lebih cenderung mengembangkan sikap agresif dan kanak-kanak yang diabaikan akan menarik diri dari berinteraksi social. (Hetherington & Parke,1999).

Status Rakan Sebaya / Peer Status

  • Kanak-kanak popular : sering dipilih sebagai kawan baik dan jarang tidak disukai oleh rakan sebaya.
  • Kanak-kanak biasa (average) : sering juga dipilih sebagai kawan baik tetapi tidak seramai kanak-kanak popular.
  • Kanak-kanak yang disisihkan (neglected) : kurang dipilih sebagai kawan baik tetapi tidak dibenci oleh rakan sebaya.
  • Kanak-kanak yang ditolak (rejected) : jarang dipilih sebagai rakan sebaya dan tidak disukai oleh rakan sebaya.
  • Kanak-kanak kontrovesi: dipilih sebagai kawan baik dan dalam masa yang sama dibenci.

Persahabatan kanak-kanak


Memilih kawan yang tinggal berhampiran dengan mereka, yang dapat bermain bersama dalam satu kawasan, belajar bersama dalam sebuah sekolah dan yang duduk bersama di dalam sebuah kelas. Memilih kawan dari golongan kanak-kanak yang mempunyai persamaan dalam beberapa aspek seperti pandai, tinggi, rendah dan umur.


Kanak-kanak yang tidak mempunyai kawan mungkin kerana tabiat, kelakuan atau perangai mereka tidak disukai oleh kanak-kanak lain. Mereka juga mungkin lebih suka hidup bersendirian dan tidak mahu bergaul dengan kanak-kanak lain.


Kanak-kanak yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang ramai, mempunyai sikap persahabatan yang lebih baik daripada kanak-kanak yang mempunyai bilangan ahli keluarga yang sedikit atau anak tunggal. Hal ini kerana mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk memuaskan kehendak dan keinginan mereka bersama adik-beradiknya yang lain.


Perkembangan Sosial Kanak-kanak

Kanak-kanak Pertengahan



  • Sudah memasuki taman didikan kanak-kanak seperti Taski dan Tabika dan boleh berjauhan dari rumahnya dalam tempoh masa tertentu.
  • Gemar berdampingan dengan keluarganya seperti bersiar-siar dan melawat keluarga-keluarga yang lain terutamanya datuk dan nenek mereka.
  • Perhubungan dengan ibunya merupakan perhubungan kasih sayang dan taat setia. Mereka akan bersedih jika ibunya sakit atau ditimpa kesusahan.
  • Perhubungan dengan bapanya pula merupakan perhubungan yang berdasarkan rasa hormat, bangga dan takut. Mereka menganggap bapanya seorang yang tahu serba-serbi dan menganggap kata-kata bapanya itu sebagai undang-undang dan perlu dipatuhi.
  • Permainan kanak-kanak di peringkat ini masih merupakan permainan lakonan atau mengajuk karakter seseorang yang mereka kenali.
  • Mereka tidak memilih kawan dan bergaul dengan semua kanak-kanak tanpa membezakan status, etnik, umur atau jantina mereka.

    Kanak-kanak Akhir
  • Telah mula membuat perhubungan dengan kalangan orang-orang dewasa. Kanak-kanak lelaki mula mengikuti hal dikalangan orang dewasa lelaki dan kanak-kanak perempuan akan mula mengikuti hal dikalangan orang dewasa perempuan.
  • Mereka tidak gemar bercampur dengan kanak-kanak yang berlainan jantina.
  • Jenis permainan lebih kepada yang meggunakan kekuatan dan kecekapan anggota badan mereka seperti kejar-mengejar, polis dan penyamun dan sebagainya.
  • Sangat aktif bergerak dan gemar menjelajah ke sesuatu tempat di sekeliling kampung atau bandar.
  • Sudah tahu menilai peribadi orang lain dan tahu sifat-sifat buruk dan istimewa seseorang.













    Hubungan di antara kanak-kanak dan ibu bapa

    q Kanak-kanak ini semakin membesar dan dengan perlahan-lahan mula membebaskan diri dari ibunya dan memasuki alam masyarakat, sekolah dan persahabatan.
    q Ibu bapa perlu menggalakan kanak-kanak ini supaya bersikap berpegang kepada diri sendiri,seperti melatih mereka memakai pakaian sendiri, menyimpan alat-alat permainan sendiri dan sebagainya.
    q Ibu bapa juga perlu menggalakan kanak-kanak ini berhubung dengan kanak-kanak lain supaya mereka dapat mempelajari lebih luas dasar mengambil dan memberi, semangat bertolak ansur dan berlapang dada.

    Pengaruh perhubungan ibu bapa

    § Penting dalam pembentukan peribadi kanak-kanak.
    § Ibu bapa yang hidup aman damai, saling memahami dan menghormati di antara satu sama lain dapat menimbulkan suatu suasana rumah tangga yang tenang, dan tenteram. Kanak-kanak dapat hidup dan membesar dengan aman dan damai dan dapat menyuburkan perasaan percaya kepada diri sendiri dan orang di sekeliling mereka.
    § Ibu bapa yang hidup dalam pertelingkahan, perkelahian dan bercerai-berai akan menimbulkan suatu suasana yang muram, genting dan resah. Kanak-kanak akan hidup dalam keadaan keluh-kesah, takut dan bimbang sehingga melemahkan perasaan percaya kepada diri sendiri dan orang disekeliling mereka.
    § Menurut kajian, dalam kalangan 300 orang kanak-kanak nakal yang pernah melakukan kesalahan-kesalahan jenayah dan menjadi kutu-kutu jalan di Mesir, didapati 75% dari mereka datang dari rumah tangga yang retak dan hancur ( Dr. Abdul Aziz Al-Qousi). Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerukunan dan keamanan rumah tangga itu mempunyai kesan yang langsung kepada peribadi kanak-kanak.








    Kanak-kanak yang baru bersekolah

    Mengalami masalah untuk menyesuaikan diri dalam persekitaran baru.
    Merasakan dirinya terasing dan tidak dikenali. Mereka akan menjadi tumpuan pandangan dan jelingan kanak-kanak lain dan menyebabkan mereka berasa bosan dan segan.
    Masalah yang seringkali berlaku kepada kanak-kanak ini ialah kesulitan pembuangan air terutamanya buang air besar. Mereka berasa malu untuk muncul di hadapan rakan-rakan mereka dan meminta izin dari guru untuk ke tandas.







    Monday, March 26, 2007

    Perkembangan Emosi


    Emosi adalah penggerak utama bagi menggambarkan tingkahlaku kanak-kanak khususunya peringkat pertengahan dan akhir. Ini kerana menerusi emosi yang dilahirkan mereka dapat menonjolkan segala bentuk perkara yang dirasai serta yang difikirkan. Dengan itu, segala situasi yang berlaku di sekeliling baik dari aspek perubahan biologi akan mendorong pembentukan emosi dalam sesuatu masa sama ada sedih, marah, kecewa dan sebagainya.

    Ini bermakna, seorang kanak kanak itu dalam masa yang sama harus mengimbangi perubahan diri dan juga penyesuaian faktor luarannya. Secara tidak langsung, ia mempengaruhi sikap ibu bapa terhadap reaksi kanak-kanak itu. Sekiranya ibu bapa kurang sensitif dengan perubahan emosi dan biologi kanak-kanak itu, kanak-kanak yang bijak akan mula memanupulasikan ibu bapa mereka untuk memenuhi kehendak kanak- kanak itu.

    Pada dasarnya, emosi dan perasaan kanak-kanak boleh diklasifikasikan dalam dua cara yang paling umum iaitu:

    • Faktor luaran:

    Lazimnya, kanak-kanak akan menonjolkan reaksi mereka sendiri dalam sesuatu masa melalui riak muka seperti ketawa, menangis, senyum, bermasaam muka dan langsung tidak berkata apa-apa. Daripada situasi yang kita lihat, di sini dapat kita rumuskan bahawa kanak-kanak pertengahan dan akhir memiliki amosi yang tidak stabil dan berubah -ubah mengikut masa dan keadaan. Sebagai contoh, mereka sangat sensitif dan mudah menangis apabila ditegur dengan nada yang kasar seperti dimarahi oleh bapa. Seterusnya, emosi mereka turut berubah apabila diberi pujian setelah berjaya menylelesaikan sesuatu perkara leih-lebih lagi dalam bidang akademik. Secara tidak langsung, keadaan ini dapat meningkatkan tahap ekstim kendiri dalam diri kanak-kanak tersebut.

    • Faktor dalaman : merujuk kepada perasaan emosi yang dilahirkan melalui tingkahlaku emosi yang berubah-ubah mengikut tindak balas emosi untuk menarik perhatian penjaga atau rakan rakan sebaya. Ini kerana, mereka masih kecil dan semestinya memerlukan perhatian yang sepenuhnya daripada anggota keluarga. Keadaan ini dapat kita perhatikan apabila mereka akan menonjolkan emosi dengan mempamerkannya melalui tingkah laku yang ditonjolkan. Kedaan ini dapat dilihat apabila kanak-kanak akan mengamuk dan mengguling-gulingkan badan apabila kehendak mereka tidak dituruti dan ianya berterusan selagi tidak mendapat perkara yang diinginkan. Situasi ini dapat kita lihat di shopping complex apabila mereka gagal mendapat barangan yang diinginkan lebih-lebih lagi barangan permainan.

    Daripada 2 situasi di atas, kita dapat merumuskan bahawa sememangnya emosi kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir adalah berbeza-beza mengikut peralihan usia sekitar 6 hinnga12 tahun. Oleh itu, ibu bapa khususnya perlulah memahami setiap rentak emosi kanak-kanak dan mestilah jika dengan setiap kehendak yang mereka ingin.


    Tahap Perkembangan Emosi bagi Kanak-kanak Pertengahan dan Akhir

    • Mengikut Ericson, terdapat 4 tahap yang menggambarkan tahap perkembangan sosial kanak-kanak. Bagi kanak-kanak pertengahan dan akhir, mereka tergolong dalam tahap yang ke 4. Ini kerana usia antara 6 sehingga 12 tahun adalah permulaan bagi kanak-kanak ini memasuki alam persekolahan iaitu dari peringkat pra sekolah ke peringkat sekolah rendah. Seterusnya, dalam proses pembelajaran yang mereka lalui, mereka mula didedahkan dengan pelbagai konsep serta konsep 3M iaitu membaca. mengira dan menulis.

    • Dalam masa yang sama, pada peringkat ini, kanak-kanak akan berada bersama-sama dengan kelompok keluarga, rakan sebaya dan masyarakat sekeliling. Secara tidak langsung banyak perkara baru yang dapat mereka perolehi dan pelajari. Keadaan ini akan menyebabkan kanak-kanak akan meniru setiap perkara yang dilakukan oleh orang-orang yang berada di sekeliling mereka lebih-lebih lagi anggota keluarga serta sahabat yang terdekat. Jadi, tidak hairanlah mereka boleh meniru seriap gaya dan cara yang dipertontonkan
    • Dalam masa yang sama, kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir memiliki minat untuk mencuba sesuatu yang baru, lebih-lebih lagi perkara yang diminati oleh mereka. Ini kerana, mereka mempercayai bahawa mereka memiliki kemahiran serta bakat yang terpendam di dalam diri masing-masing. Pada tahap ini, mereka begitu aktif dan cenderung melakukan apa sahaja perkara yang terlintas di dalam fikiran mereka dan langsung tidak boleh menerima sebarang teguran daripada orang sekeliling.
    • Lazimnya, kanak-kanak ini akan menghadapi konflik dalam diri seandainya mereka gagal dalam melakukan sebarang bentuk tugas yang diberikan dan keadaan ini akan menimbulkan perasaan rendah diri dan wujud kekecewaan dalam diri masing-masing. Namun begitu rangsaangan daripada individu yang berkenaan terutama ahli keluarga dan sahabat handai dapat memadamkan spekulasi yang mereka lemparkan terhadap diri mereka sendiri.

    Sunday, March 25, 2007

    Perkembangan Moral

    Tahap Perkembangan Moral bagi Kanak-kanak Pertengahan dan Akhir

    Moral adalah merujuk kepada sikap yang dimiliki oleh seseorang dan ianya wujud dalam setiap diri manusia. Begitu jugalah dengan kanak-kanak pertengahan dan akhir. Bagi kanak-kanak pertengahan dan akhir, pembentukan moral atau sikap mereka sememangnya telah wujud dan lazimnya pembentukannya sedikit sebanyak dipengaruhi oleh individu yang berada di sekekliling mereka lebih-lebih lagi keluarga, rakan-rakan dan masyarakat .

    Pada peringkat ini, kita sememangnya dapat melihat bahawa moral kanak-kanak sangat memainkan peranan dalam membentuk jati diri kanak-kanak tersebut. Ini kerana, pembentukan moral yang positif akan mendorong tingkah-laku yang juga positif dalam diri kanak-kanak berkenaan. Sebagai contoh, pada tahap umur 6 hingga 12 tahun, kanak-kanak mula diajar agar membentuk sikap yang positif iaitu cuba menyesuaikan diri walau dalam apa jua keadaan sekali pun. Hal ini penting kerana jika mereka tidak membentuk moral yang bersifat positif, maka sudah tentu mereka akan mengalami masalah dalam pergaulan seharian.

    Selain itu, kanak-kanak pada usia ini akan menonjolkan sikap seperti dengan cara menonjolkan minat untuk mengenali di antara satu sama lain. Secara tidak langsung, hubungan yang erat di antara mereka dapat dijalinkan. Dalam hal ini, kita dapat melihat apabila dengan mudah mereka boleh mengenali di antara satu sama lain dan seterusnya berinteraksi antara sesama mereka. Selain itu, keadaan lain dapat kita lihat apabila mereka sama-sama turut bermain atau berbincang dalam sesuatu perkara terutama ketika proses pembelajaran berlangsung. Kesannya, mudah untuk mereka menerima setiap pelajaran yang disampaikan.

    Dalam pada itu, kanak-kanak pertengahan dan akhir turut mampu dalam melakukan tugas-tugas seharian apabila disuruh oleh ibu-bapa mereka. Ini kerana, mereka beranggapan bahawa mereka mampu melaksanakan tugas yang bersesuian dengan tahap umur mereka. Seandainya tugasan yang diberikan berjaya dilakukan, mereka akan menikmati kepuasan di tahap yang maksimum dan sebaliknya jika tugasan tersebut gagal. Sebagai contoh, kanak-kanak pada tahap ini boleh melakukan tugas-tugas seharian seperti mengemas dan boleh berdikari tanpa memerlukan bantuan daripada kedua orang tua mereka dan sedikit sebanyak mereka mampu membantu ibu khususnya dalam melakukan tugas-tugas asas dalam kehidupan seharian.

    Selain itu, wujudnya sikap sayang-menyayangi dalam diri mereka. Ini kerana kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir dapat menilai segala bentuk perhatian yang diberikan khususnya dalam kalangan keluarga mereka. Di sini kita dapat melihat tautan yang erat antara anak-anak dengan ahli keluarga yang lain. Sedikit sebanyak, keadaan ini turut sama membentuk nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak berkenaan iaitu sayang-menyayang, hormat-menghormati serta bantu-membantu yang bukan sahaja dalam keluarga malah melibatkan masyarakat sekeliling.

    Di samping itu, jika kita tinjau lagi, kanak-kanak pada pada usia ini cenderung memelihara binatang peliharaan seperti kucing dan mereka sangat menitikbertakan tentang aspek penjagaan kesihatan binatang peliharaan mereka. Keadaan ini jelas menonjolkan bahawa mereka sangat peka dalam setiap perkara.





    Teori Perkembangan Moral mengikut Lawrence Kolhberg

    Kolhberg menerangkan bahawa banyak teori yang menerangkan tentang tahap perkembangan kanak-kanak pertengahan dan akhir antaranya ialah teori perkembangan kognitif Jean Piaget (1980-1986) yang mengutamakan pertimbangan, pemikiran atau penaakulan moral, teori psikoanalisi pula yang menerangkan tentang aspek-aspek perasaan atau emosi dan pendekatan teori pembelajaran yang hanya aspek tingkah-laku.

    Walau bagaimanapun, Kolhberg (1972) dianggap sebagai pelopor utama dalam menghuraikan tentang teori perkembangan moral. Ini kerana, beliau pernah menjadi professor di Universiti Hervad dan mula popular sekitar tahun 1970. Mengikut Kolhberg, beliau membahagikan perkembangan moral kepada 3 peringkat yang utama dan setiap peringkat dipecahkan kepada 2 tahap. Bagi kanak-kanak pertengahan dan akhir, Kolhberg menerangkan bahawa mereka berada pada pada peringkat prakonvensional dan konvensional yang merangkumi usia 6 hingga 12 tahun.

    Bagi peringkat prakonvensional, ianya dirangkumi tahap 1 yang mewakili orientasi dendaan dan kepatuhan yang menegaskan bahawa undang-undang perlu dipatuhi supaya tidak dikenakan denda serta segala tindak tanduk adalah secara fizikal manakala tahap 2 pula merangkumi orientasi ganjaran peribadi yang menjelaskan tentang keperian peribadi menentukan betul atau tidak sesuatu perkara yang dilakukan dan banyak dipengaruhi oleh peribadi individu berkenaan.

    Bagi peringkat konvensional pula, tahap yang mewakilinya merangkumi tahap 3 dan 4. Bagi tahap yang ke 3, beliau ada menegaskan bahawa nilai baik adalah berdasarkan pandangan serta setiap perlakuan yang baik akan dinilai dan jika ianya benar, ganjaran akan diberikan. Seterusnya, bagi tahap yang ke 4 beliau menegaskan bahawa seluruh ahli masyarakat mesti berpandukan kepada peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dan hal ini penting dalam menjamin kehidupan seharian.

    Dalam masa yang sama, Kolhberg ada menerangkan bahawa tingkah laku moral kanak-kanak kebiasaannya adalah selari dengan tahap penaakulan moral dan kanak-kanaklah yang akan mengintegrasikan peraturan moral tersebut. Selain itu, beliau turut berpendapat wujudnya perbezaan dalam kalangan individu mengenai pandangan tentang aktiviti menipu serta ada menghuraikan bahawa agresif lawannya asertif serta menerangkan tentang sikap pembuli dan mangsa yang dibuli.

    Kesimpulannya, pembentukan moral kanak-kanak yang lebih ke arah sudut yang positif akan mempengaruhi minda dan hidup kanak-kanak itu sendiri khususnya kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir.

    Friday, March 23, 2007

    Uji Minda

    Bahagian Objektif



    1. Peningkatan tinggi tubuh badan kanak-kanak tidak akan menyebabkan pengurangan bahagian

    a. Kepala

    b. Pinggang

    c. Kepanjangan leher

    d. Kepanjangan kaki


    1. Antara berikut, yang manakah adalah kemahiran motor halus kanak-kanak pertengahan dan akhir?

    a. Menunggang basikal

    b. Berenang

    c. Memasak

    d. Mengikat tali kasut


    1. Kanser kanak-kanak adalah seperti berikut kecuali

    a. Kanser tulang

    b. Leukemia

    c. Kanse usus besar

    d. Kanser ginjal


    1. Apakah ciri-ciri kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran?

    a. Kanak-kanak susah menumpukan perhatian

    b. Kanak-kanak mempunyai paras minimum IQ

    c. Kanak-kanak sangat sukar mengawal reaksi dan bertindak tanpa berfiikir

    d. Kanak-kanak adalan terlalu aktif


    1. Berapakah peratus kanak-kanak ADHD yang mempunyai adik-beradik atau ibu bapa yang mempunyai penyakit yang sama?

    a. 10%-30%

    b. 30%-50%

    c. 50%-70%

    d. 70%-90%


    1. Kanak-kanak dapat mengklasifikasikan sesuatu kepada set atau subset yang berbeza dan boleh memahami hubungn antara perkara tersebut. Tahap ini dikenali sebagai :

    a. Operasi formal

    b. Operasi konkrit

    c. Deria moto

    d. Praoperasi


    1. Kebolehan kanak-kanak menyusun dalam minda mereka senarai secara siri ketinggian atau berat dikelani sebagai :

    a. Transiviti

    b. Reversable

    c. Seriation

    d. Conservation


    1. Berikut adalah kaedah pengajaran yang dicadangkan oleh Piaget, kecuali :

    a. mengambil kira tahap ilmu dan tahap pemikiran pelajar.

    b. Menjadikan kelas sebagai pusat penerokaan dan penemuan.

    c. Menggunakan pendekatan konstuktif.

    d. Menjadikan pemikiran kanak-kanak seperti orang dewasa.


    1. Dalam mengasaskan perkembangan kognitif kanak-kanak, Piaget telah memperkenalkan beberapa konsep seperti adaptasi, asimilasi, akomodasi dan sebagainya. Apakah yang dimaksudkan dengan akomodasi ?

    a. mengubahsuai struktur kognitif yang sedia ada untuk memahami maklumat baru.

    b. mengubah struktur kognitif semasa menemui objek, maklumat dan pengalaman baru.

    c. Menambah maklumat baru atau perkaya struktur kognitif yang sedia ada.

    d. Mencantum struktur kognitif yang sedia ada untuk membentuk struktur kognitif yang kompleks.


    1. Keupayaan kanak-kanak dalam memahami hubungan secara logik untuk memahami kasimpulan tertentu ialah :

    a. Asimilasi

    b. Transiviti

    c. Seriation

    d. Reversable


    1. Apakah ciri-ciri pemahaman kendiri kanak-kanak ini gunakan untuk mengenali diri mereka?

    a. Luaran.

    b. Dalaman.

    c. Sosial.

    d. Semua diatas


    1. Bagaimanakah cara meningkatkan estim kendiri kanak-kanak ini?

    a. Mengenal pasti punca estim kendiri rendah.

    b. Menyediakan sokongan emosi dan sosial.

    c. Membantu kanak-kanak untuk berjaya.

    d. Semua di atas.


    1. Apakah perubahan emosi yang akan berlaku pada kanak-kanak ini?

    a. Dapat menahan diri dari menunjukkan emosi yang negatif.

    b. Tidak dapat memahami sesuatu peristiwa itu lagi.

    c. Sudah bersedia dengan segala peristiwa yang berlaku.

    d. Emosi mudah tersentuh dengan kata-kata yang diungkapkan walaupun bukan ditujukan untuknya.


    1. Bagaimanakah perkembangan moral pada usia kanak-kanak sebegini?

    a. Memahami Sesuatu peristiwa itu dengan cepat.

    b. Masih tidak memahami apa yang berlaku dalam persekitaran.

    c. Berfikir dulu sebelun melakukannya.

    d. Suadah lebih mengerti dalam melakukan sesuatu itu.


    1. Pada tahap ini, apaka perubahan yang ketara pada diri mereka?

    I. Tumbesaran lebih meningkat.

    II. Mula memahami keadaan.

    III. Kurang mendengar nasihat atau kata-kata ibubapa.

    IV. Mempunyai tulisan yang besar.

    a. I, II.

    b. I, III, IV.

    c. I, II, III.

    d. I, II, IV

    16. Antara yang berikut yang manakah tidak benar tentang rakan sebaya?

    a. Rakan yang ditolak
    b. Rakan yang kontroversi
    c. Rakan yang popular
    d. Rakan yang tidak tetap

    17. Kanak-kanak yang baru bersekolah biasanya akan mengalami masalah-masalah berikut, kecuali..

    a. Penyesuaian dengan rakan baru
    b. Merasa dirinya dalam perhatian
    c. Bergaduh dengan rakan
    d. Malu untuk memberitahu guru apabila ingin membuang air besar

    18. Kanak-kanak dari golongan miskin mengalami masalah-masalah untuk bersekolah seperti berikut, kecuali..

    a. kecerdasan otak yang lemah
    b. sikap ibubapa yang tidak membenarkan anak mereka bersekolah
    c. disisih dari rakan sebaya
    d. kekurangan keperluan persekolahan

    19. Berikut adalah peranan rakan sebaya dalam proses sosialisasi kanak-kanak pertengahan dan akhir, kecuali..

    a. sebagai sumber informasi kanak-kanak
    b. membantu mengembangkan self image dan self esteem
    c. membentuk self control dan kemampuan berfikir
    d. membentuk sikap dan akhlak baik kanak-kanak

    20. Apakah yang dimaksudkan dengan kognisi social?

    a. tindakan kanak-kanak mengolah maklumat yang berkaitan dengan persekitaran sosial mereka
    b. interaksi antara kanak-kanak dan rakan sebaya
    c. proses pembentukan self control kanak-kanak
    d. pengetahuan kanak-kanak dalam persekitaran mereka

    21. Faktor yang manakah bukan punca yang menyebabakan obesiti

    a. Pemakanan
    b. Kurang membuat senaman
    c. Genetik
    d. Jantina








    Bahagian Subjektif



    1. Apakah kesan positif dan kesan negative kanak-kanak pertengahan dan akhir menyertai sukan atau permainan?
    2. Mengapakah Ericson menjelaskan kanak-kanak peringkat pertengahan dan akhir berada pada tahap yang terakhir? Kenapakah mereka berada pada tahap teori industri lawan rendah diri?
    3. Apakah kaedah yang perlu dipraktikkan dalam proses pengajaran yang disyorkan Piaget?


    Wednesday, March 21, 2007

    Jawapan

    Jawapan Soalan Objektif
    1. c
    2. d
    3. c
    4. b
    5. b
    6. b
    7. c
    8. d
    9. a
    10. b
    11. d
    12. d
    13. a
    14. a
    15. c
    16. d
    17. c
    18. a
    19. d
    20. a
    21. d
    Jawapan Soalan Subjektif

    1. Kesan positif menyertai sukan atau permainan adalah kanak-kanak berpeluang membuat senaman. Kanak-kanak diberi peluang untuk belajar bagaimana untuk bertanding. Kanak-kanak juga berpeluang mempelajari estim kendiri ( self-esteem ). Kanak-kanak boleh menjalin hubungan mesra dengan kawan-kawan serta rakan sebaya. Kesan negatif kanak-kanak menyertai sukan atau permainan adalah kanak-kanak berasa tertekan untuk mencapai kejayaan dalam sukan atau permainan. Kanak-kanak mudah mendapat kecederaan fizikal. Pencapaian akademik kanak-kanak akan terganggu. Kanak-kanak akan mempunyai pengharapan yang tidak realistik iaitu berjaya menjadi seorang ahli sukan.
    2. Peringkat kanak-kanak pertengahan dan akhir merupakan satu peringkat terakhir dalam kitaran umur kanak-kanak. Ini kerana peringkat umur antara 6-12 tahun merupakan tahap peralihan bagi kanak-kanak memasuki alam persekolahan iaitu dari peringkat pra-sekolah kepada peringkat sekolah rendah. Jadi tidak hairanlah kanak-kanak peringkat ini mula didedahkan dengan konsep 3m dan mula merasai proses sosialisasi antara satu sama lain.Pada usia 6-12 tahun, kanak-kanak peringkat ini adalah berada pada tahap industri lawan rendah diri. Ini kerana, pada tahap umur seperti ini, mereka mula berkeinginan untuk mengembangkan interaksi di antara sesama mereka dan dalam masa yang sama akan lebih mudah merasa rendah diri tatkala gagal dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Hal ini mereka lebih berasa yakin dan mempunyai keyakinan diri yang kuat dalam menyelesaikan sesuatu perkara. Akibatnya, apabila mereka gagal dalam melaksanakan tugas tersebut, mereka akan berasa lebih rendah diri.
    3. Kaedah yang dipraktikkan

    Ø Menggunakan pendekatan konstruktif

    Ø Mengalakkan pelajar belajar secara praktikal

    Ø Mengambilkira tahap ilmu dan tahap pemikiran pelajar

    Ø Tidak memaksa kana-kanak menguasai sesuatu bidang melebihi tahap umur mereka

    Ø Menjadikan kelas sebagai pusat penerokaan dan penemuan

    Tuesday, March 20, 2007

    Isu-isu Semasa

    Utusan Online

    5 April 2007

    17 Rabiul Awal 1428

    Memahami ilmu keibubapaan di program Asuhan Positif

    IBU bapa sebagai institusi masyarakat berperanan membentuk dan membimbing anak menjadi insan cemerlang dan berjaya.

    Demi memastikan kesejahteraan keluarga, ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan anak-anak termasuk dari segi material, pendidikan dan keselamatan.

    Dalam zaman serba mencabar ini, kewibawaan mereka sebagai ibu bapa sering kali diuji sehingga menuntut mereka untuk sentiasa mendalami ilmu keibubapaan.

    Namun seperkara yang sering kali dilupakan kebanyakan ibu bapa ialah soal penjagaan kesihatan keluarga, sedangkan ia antara jaminan kepada melahirkan generasi yang sihat dan berkualiti.

    Bagi membantu ibu bapa mendalami ilmu keibubapaan serta penjagaan kesihatan keluarga, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dengan usaha sama Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) mengambil inisiatif melancarkan fasa kedua Program pendidikan ibu bapa Positive Parenting (Asuhan Positif) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, baru-baru ini.

    Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Zaleha Ismail.

    Menurut Presiden MPA, Dr. Zulkifli Ismail, usaha tersebut adalah seiring dengan peningkatan usia MPA sendiri yang telah mencecah tujuh tujuh tahun dalam memberi bimbingan dan ilmu tambahan kepada bakal atau ibu bapa.

    Katanya, demi memastikan institusi keluarga terus kukuh dan terpelihara, skop yang diperkenalkan melalui program pendidikan dalam fasa kedua itu lebih luas dan menyeluruh.

    “Jika sebelum ini skop meliputi teknik sesuai dalam proses penjagaan dan tumbesaran anak, kami memfokuskan tiga topik berkaitan kesihatan iaitu Kesihatan Ibu Hamil, Kanak-Kanak dan Keluarga.

    “Mereka yang bakal atau yang telah bergelar ibu bapa boleh melayari laman web kami di www.po sitiveparenting.com bagi mendapatkan maklumat pelbagai topik terutama berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak,” ujarnya.

    Disediakan dalam dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris ia bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengases maklumat.

    Antara topik utama yang dibincangkan termasuk Penjagaan Ibu Hamil meliputi penjagaan kehamilan, pemakanan, bersalin dan keadaan kesihatan si ibu.

    Topik kedua tentang Kesihatan Kanak-Kanak dan Pediatrik, meliputi penjagaan anak, vaksin dan pencegahan kecederaan.

    Sementara itu, topik Kesejahteraan Keluarga meliputi Perkahwinan, Asuhan dan Kewangan, selain Pemakanan yang menyentuh tentang Penyusuan Ibu, Makanan Pelengkap, Kanak-Kanak Bertatih dan Prasekolah.

    Program pendidikan keibubapaan ini merupakan hasil kerjasama Persatuan Kesihatan Mental, Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Berdaftar dan LPPKN di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

    Sempena pelancaran itu, satu seminar dianjurkan dengan menampilkan beberapa penceramah berpengalaman yang membincangkan pelbagai topik keibubapaan dan kesihatan keluarga.

    Antaranya, Konsultan O&G, Prof Dr. Tan Ay Eeng, yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kehamilan Yang Selamat dan Selesa’, Pakar Dietitik, Peggy Tang bertajuk, ‘Pemakanan Untuk Anak Anda’ dan Konsultant Pediatrik, Dr. Yon Junina Fadzil menyampaikan ceramah bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan Anak.’

    Tidak ketinggalan ceramah bertajuk ‘Membina Keluarga Yang Positif melalui Kognitif dan Pembangunan Psikologi’ oleh Ketua Jabatan di Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti HELP, Dr. Goh Chee Leong.


    2 April 2007
    14 Rabiul Awal 1428

    Muhamad Faizuddin sudah boleh kayuh basikal

    MUAR 2 April – Kanak-kanak berusia enam tahun yang kaki kirinya terperosok ke dalam lubang tandas cangkung di rumahnya di Taman Desa Temiang di sini pagi semalam, kini sudah pulih malah boleh menunggang basikal.

    Muhamad Faizuddin Rahmat, yang terpaksa menahan kesakitan apabila kakinya tersangkut lebih dua jam, tidak mengalami kecederaan serius hanya lebam di bahagian kaki kirinya akibat insiden itu.

    Bapanya, Rahmat Dol- lah, 34, bersyukur kerana Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini semalam memaklumkan bahawa anak sulungnya itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu.

    ‘‘Saya bersyukur kerana anak saya kini selamat, malah saya kagum dengan semangatnya yang kuat sewaktu kejadian itu semalam dan mampu menahan kesakitan selama lebih dua jam.

    ‘‘Sepanjang dua jam itu, anak saya cuma menangis dan mengadu kepada saya yang dia hendak makan ais krim, mengantuk dan sesekali meminta supaya kakinya segera dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, murid Tabika Kemas itu masuk ke bilik air untuk mandi. Pada waktu itu, ibunya, Noraini Ahmad, 33, seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini sedang mencuci baju menggunakan mesin basuh yang berada di luar bilik air itu.

    Dipercayai air buangan mesin basuh yang disalurkan ke dalam bilik air mengakibatkan magsa tergelincir lalu kaki kirinya terperosok ke dalam lubang tandas.

    Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba pada pukul 10 pagi berjaya mengeluarkan kaki Muhamad Faizuddin kira-kira pukul 11.50 pagi dengan bantuan penduduk taman perumahan itu dan beberapa tukang paip.

    Sementara itu, Rahmat yang juga bertugas di LHDN Muar memberitahu, sewaktu kejadian, dia baru pulang dari pasar manakala isterinya dan dua lagi anak mereka iaitu Muhamad Sharifuldin, 4, dan Siti Nur Aisyah, 2, turut berada di rumah.

    ‘‘Sepanjang usaha mengeluarkan kaki anak saya itu, saya, isteri serta pasukan penyelamat cuba menenangkan Faizuddin dan memberikan dia semangat juga minuman air suam.

    Bantuan kecemasan antara hidup dan mati

    Oleh: Shafinaz Sheikh Maznan

    RANIA dan anak lelakinya Fahd, 7, mengambil peluang cuaca baik pada petang itu untuk bersiar-siar di taman kawasan perumahan mereka. Menghampiri taman rekreasi, Fahd seakan-akan tidak sabar lagi menyertai beberapa orang rakannya yang melambai-lambai dan memanggil namanya.

    Kawasan itu sememangnya agak curam dan Fahd semakin deras berlari.

    Belum pun sempat Rania menghabiskan kata-kata agar anak tunggal kesayangannya itu memperlahankan langkahnya, kaki Fahd sudah pun tersandung.

    Anak kecil itu lalu tergelincir dan terus bergolek-golek sehinggalah jatuh berdebub di atas tanah dengan kepalanya dahulu yang mencium bumi.

    Rania meluru ke arah Fahd yang berlumuran darah. Fahd kaku tidak bergerak. Rania tidak pasti sama ada anaknya itu masih bernafas atau tidak.

    Apakah yang harus dilakukannya? Bagaimana jika anda berada di tempat Rania ataupun kebetulan lalu di situ, apakah yang akan anda lakukan?

    Apabila satu-satu kecemasan berlaku, pertama sekali, pastikan saluran pernafasan mangsa tidak terhalang dengan lidahnya manakala mulutnya bebas dari sebarang rembesan atau objek-objek asing.

    Adalah sangat penting seseorang itu boleh bernafas dengan bebas. Jika tidak, pernafasan bantuan mulut ke mulut (CPR) hendaklah dilakukan dengan segera.

    Dalam kes Fahd, lihat sama ada dia boleh membuka matanya dan bercakap dengan anda. Periksa denyutan nadi dan pernafasannya. Tekan bahagian yang luka dengan kain bersih bagi menghentikan pendarahan.

    Disebabkan kepala Fahd terhantuk, jangan alih atau angkat Fahd kerana sebarang usaha menggerakkan mereka yang mengalami kecederaan leher boleh menjadi amat, amat membahayakan.

    Begitu juga dengan mereka yang mengalami kecederaan belakang, tidak boleh dialihkan kecuali terdapat bahaya lain. Biarkan sahaja mereka berbaring.

    Sekiranya mangsa muntah dan tiada tanda-tanda patah leher, pusingkan badan mereka ke keadaan mengiring bagi mengelakkan tercekik.

    Jangan berikan apa-apa cecair kepada mangsa sama ada yang tidak sedar atau separuh sedar bagi mengelakkan lemas.

    Begitu juga, jangan sekali-kali cuba menyedarkan mangsa dengan cara menampar atau menggoncang-goncangkan badannya.

    Yang penting, anda perlu bawa bertenang bagi mengelakkan mangsa menjadi panik.

    Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Rosnah Ramly berkata, bantuan kecemasan merupakan teknik perubatan menyelamatkan nyawa yang mudah diberikan oleh orang biasa kepada mangsa kemalangan.

    Sayang, tidak ramai yang menyedari akan kepentingannya terutama golongan ibu bapa, jauh sekali menyimpan peti kecemasan di rumah.

    ``Bantuan kecemasan biasanya diberikan dalam keadaan kecederaan perubatan sebelum campur tangan doktor atau paramedik.

    ``Ia boleh jadi sesiapa sahaja baik ahli keluarga, kawan-kawan atau orang tidak dikenali yang kebetulan berada di tempat kejadian,'' katanya.

    Menurutnya, selama tiga, empat minit sahaja masa diambil sebelum saluran pernafasan tersumbat membunuh seseorang tetapi untuk membawa mangsa ke hospital atau menanti ketibaan ambulans memerlukan masa yang jauh lebih lama.

    Justeru, prosedur mudah seperti membuka saluran pernafasan melalui CPR boleh menyelamatkan nyawa seseorang sementara menanti ketibaan bantuan profesional.

    ``Bantuan kecemasan yang dilakukan dengan betul boleh menyelamatkan nyawa seseorang terutamanya jika mangsa mengalami pendarahan teruk, tidak boleh bernafas atau keracunan.

    ``Malah, ia juga boleh menghalang masalah perubatan yang lebih teruk atau komplikasi yang mungkin berpunca daripada kecederaan atau kesakitan tersebut,'' kata Dr. Rosnah yang juga pakar perubatan (kesihatan awam).

    Beliau berkata, bantuan kecemasan bertujuan memanjangkan jangka hayat, mengelakkan akibat lebih buruk daripada kecederaan yang dialami dan merangsang pemulihan.

    Kemalangan, ujarnya, merupakan salah satu penyebab utama kemasukan dan kematian di hospital-hospital kerajaan.

    Berdasarkan Laporan Epidemiologi Kecederaan di Malaysia, rumah menduduki tangga kedua selepas jalan raya sebagai lokasi paling kerap berlaku kemalangan.

    ``Kanak-kanak berusia bawah 10 tahun paling banyak mengalami kecederaan sesuai alam penerokaan mereka yang penuh adventurous.

    ``Insiden kanak-kanak lelaki lebih ketara berbanding perempuan dengan Melayu paling ramai terlibat iaitu sebanyak 54.8 peratus manakala India dan Cina masing-masing 17.3 dan 11.7 peratus,'' katanya.

    Kecederaan paling banyak berlaku di halaman rumah diikuti dengan di dapur.

    Waktu di antara pukul 4 petang hingga 8 malam dikira masa-masa genting di mana kecederaan lebih sering terjadi.

    Terjatuh (disebabkan oleh tergelincir, tersandung, terlanggar atau terhantuk) menjadi punca utama kecederaan sambil disusuli oleh luka dan tercucuk benda-benda tajam.

    Keracunan minyak tanah adalah biasa di kalangan kanak-kanak (52.6 peratus) terutamanya bayi manakala keracunan racun serangga lebih popular di peringkat remaja dan dewasa.

    Sementara itu, kebanyakan luka terbakar berpunca daripada cecair mahupun pepejal yang panas.

    Permukaan lantai, tangga, barangan perabot, alat permainan dan baby walker merupakan antara beberapa faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada berlakunya kecederaan.

    Kata Dr. Rosnah, terdapat beberapa cara yang boleh diambil untuk mengelak atau mengurangkan kecederaan di rumah, terutamanya di kalangan kanak-kanak yang lebih terdedah kepada risiko ini.

    Kecederaan yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak adalah terjatuh, keracunan, lemas, terbakar, tertelan benda asing dan kejutan elektrik.

    ``Memanglah kita tidak dapat memastikan kanak-kanak terhindar sepenuhnya dari mendapat kemalangan dan kecederaan.

    ``Tetapi, kita boleh mengambil langkah-langkah keselamatan tertentu di persekitaran dan di dalam rumah sekali gus mengurangkan kesan kecederaan sekiranya ia terjadi,'' tegasnya.



    Monday, March 19, 2007

    Rujukan

    E. Mavis Hetherington and Ross D. Park.1975. Child Psycology : A contemporary view point. Boston: Mc Graw - Hill Inc.


    E. Mavis Hetherington and Ross D. Park. 1993. Child Psycology : A contemporary view point (4th edtion). Boston: Mc Graw - Hill Inc.


    Yusoff Zaky Yacob. 1975. Psikologi Kanak-kanak. Kota Bharu, Kelantan: Diterbitkan Sharikat Dian Sdn. Bhd.


    http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0501&pub=utusan_malaysia&sec=kesihatan&pg=kn_01.htm&arc=hive

    http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0405&pub=utusan_malaysia&sec=keluarga&pg=ke_02.htm&arc=hive


    http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0403&pub=utusan_malaysia&sec=dalam%5Fnegeri&pg=dn_08.htm&arc=hive


    Arthur T. Jersild. 1968. Child Psycology. Englewood Cliffs, New Jersey: Pentice - Hall Inc.


    John W.Santrock.2006. Life-Span Development. New York: McGraw-Hill Companies, Inc.