Tuesday, March 20, 2007

Isu-isu Semasa

Utusan Online

5 April 2007

17 Rabiul Awal 1428

Memahami ilmu keibubapaan di program Asuhan Positif

IBU bapa sebagai institusi masyarakat berperanan membentuk dan membimbing anak menjadi insan cemerlang dan berjaya.

Demi memastikan kesejahteraan keluarga, ibu bapa sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi keperluan anak-anak termasuk dari segi material, pendidikan dan keselamatan.

Dalam zaman serba mencabar ini, kewibawaan mereka sebagai ibu bapa sering kali diuji sehingga menuntut mereka untuk sentiasa mendalami ilmu keibubapaan.

Namun seperkara yang sering kali dilupakan kebanyakan ibu bapa ialah soal penjagaan kesihatan keluarga, sedangkan ia antara jaminan kepada melahirkan generasi yang sihat dan berkualiti.

Bagi membantu ibu bapa mendalami ilmu keibubapaan serta penjagaan kesihatan keluarga, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dengan usaha sama Persatuan Obstetrik & Ginekologi Malaysia (OGSM) dan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) mengambil inisiatif melancarkan fasa kedua Program pendidikan ibu bapa Positive Parenting (Asuhan Positif) di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, baru-baru ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Tan Sri Zaleha Ismail.

Menurut Presiden MPA, Dr. Zulkifli Ismail, usaha tersebut adalah seiring dengan peningkatan usia MPA sendiri yang telah mencecah tujuh tujuh tahun dalam memberi bimbingan dan ilmu tambahan kepada bakal atau ibu bapa.

Katanya, demi memastikan institusi keluarga terus kukuh dan terpelihara, skop yang diperkenalkan melalui program pendidikan dalam fasa kedua itu lebih luas dan menyeluruh.

“Jika sebelum ini skop meliputi teknik sesuai dalam proses penjagaan dan tumbesaran anak, kami memfokuskan tiga topik berkaitan kesihatan iaitu Kesihatan Ibu Hamil, Kanak-Kanak dan Keluarga.

“Mereka yang bakal atau yang telah bergelar ibu bapa boleh melayari laman web kami di www.po sitiveparenting.com bagi mendapatkan maklumat pelbagai topik terutama berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak,” ujarnya.

Disediakan dalam dua bahasa, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris ia bagi memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengases maklumat.

Antara topik utama yang dibincangkan termasuk Penjagaan Ibu Hamil meliputi penjagaan kehamilan, pemakanan, bersalin dan keadaan kesihatan si ibu.

Topik kedua tentang Kesihatan Kanak-Kanak dan Pediatrik, meliputi penjagaan anak, vaksin dan pencegahan kecederaan.

Sementara itu, topik Kesejahteraan Keluarga meliputi Perkahwinan, Asuhan dan Kewangan, selain Pemakanan yang menyentuh tentang Penyusuan Ibu, Makanan Pelengkap, Kanak-Kanak Bertatih dan Prasekolah.

Program pendidikan keibubapaan ini merupakan hasil kerjasama Persatuan Kesihatan Mental, Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Berdaftar dan LPPKN di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sempena pelancaran itu, satu seminar dianjurkan dengan menampilkan beberapa penceramah berpengalaman yang membincangkan pelbagai topik keibubapaan dan kesihatan keluarga.

Antaranya, Konsultan O&G, Prof Dr. Tan Ay Eeng, yang menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kehamilan Yang Selamat dan Selesa’, Pakar Dietitik, Peggy Tang bertajuk, ‘Pemakanan Untuk Anak Anda’ dan Konsultant Pediatrik, Dr. Yon Junina Fadzil menyampaikan ceramah bertajuk ‘Penjagaan Kesihatan Anak.’

Tidak ketinggalan ceramah bertajuk ‘Membina Keluarga Yang Positif melalui Kognitif dan Pembangunan Psikologi’ oleh Ketua Jabatan di Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti HELP, Dr. Goh Chee Leong.


2 April 2007
14 Rabiul Awal 1428

Muhamad Faizuddin sudah boleh kayuh basikal

MUAR 2 April – Kanak-kanak berusia enam tahun yang kaki kirinya terperosok ke dalam lubang tandas cangkung di rumahnya di Taman Desa Temiang di sini pagi semalam, kini sudah pulih malah boleh menunggang basikal.

Muhamad Faizuddin Rahmat, yang terpaksa menahan kesakitan apabila kakinya tersangkut lebih dua jam, tidak mengalami kecederaan serius hanya lebam di bahagian kaki kirinya akibat insiden itu.

Bapanya, Rahmat Dol- lah, 34, bersyukur kerana Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini semalam memaklumkan bahawa anak sulungnya itu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kejadian itu.

‘‘Saya bersyukur kerana anak saya kini selamat, malah saya kagum dengan semangatnya yang kuat sewaktu kejadian itu semalam dan mampu menahan kesakitan selama lebih dua jam.

‘‘Sepanjang dua jam itu, anak saya cuma menangis dan mengadu kepada saya yang dia hendak makan ais krim, mengantuk dan sesekali meminta supaya kakinya segera dikeluarkan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, murid Tabika Kemas itu masuk ke bilik air untuk mandi. Pada waktu itu, ibunya, Noraini Ahmad, 33, seorang kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini sedang mencuci baju menggunakan mesin basuh yang berada di luar bilik air itu.

Dipercayai air buangan mesin basuh yang disalurkan ke dalam bilik air mengakibatkan magsa tergelincir lalu kaki kirinya terperosok ke dalam lubang tandas.

Pasukan Bomba dan Penyelamat yang tiba pada pukul 10 pagi berjaya mengeluarkan kaki Muhamad Faizuddin kira-kira pukul 11.50 pagi dengan bantuan penduduk taman perumahan itu dan beberapa tukang paip.

Sementara itu, Rahmat yang juga bertugas di LHDN Muar memberitahu, sewaktu kejadian, dia baru pulang dari pasar manakala isterinya dan dua lagi anak mereka iaitu Muhamad Sharifuldin, 4, dan Siti Nur Aisyah, 2, turut berada di rumah.

‘‘Sepanjang usaha mengeluarkan kaki anak saya itu, saya, isteri serta pasukan penyelamat cuba menenangkan Faizuddin dan memberikan dia semangat juga minuman air suam.

Bantuan kecemasan antara hidup dan mati

Oleh: Shafinaz Sheikh Maznan

RANIA dan anak lelakinya Fahd, 7, mengambil peluang cuaca baik pada petang itu untuk bersiar-siar di taman kawasan perumahan mereka. Menghampiri taman rekreasi, Fahd seakan-akan tidak sabar lagi menyertai beberapa orang rakannya yang melambai-lambai dan memanggil namanya.

Kawasan itu sememangnya agak curam dan Fahd semakin deras berlari.

Belum pun sempat Rania menghabiskan kata-kata agar anak tunggal kesayangannya itu memperlahankan langkahnya, kaki Fahd sudah pun tersandung.

Anak kecil itu lalu tergelincir dan terus bergolek-golek sehinggalah jatuh berdebub di atas tanah dengan kepalanya dahulu yang mencium bumi.

Rania meluru ke arah Fahd yang berlumuran darah. Fahd kaku tidak bergerak. Rania tidak pasti sama ada anaknya itu masih bernafas atau tidak.

Apakah yang harus dilakukannya? Bagaimana jika anda berada di tempat Rania ataupun kebetulan lalu di situ, apakah yang akan anda lakukan?

Apabila satu-satu kecemasan berlaku, pertama sekali, pastikan saluran pernafasan mangsa tidak terhalang dengan lidahnya manakala mulutnya bebas dari sebarang rembesan atau objek-objek asing.

Adalah sangat penting seseorang itu boleh bernafas dengan bebas. Jika tidak, pernafasan bantuan mulut ke mulut (CPR) hendaklah dilakukan dengan segera.

Dalam kes Fahd, lihat sama ada dia boleh membuka matanya dan bercakap dengan anda. Periksa denyutan nadi dan pernafasannya. Tekan bahagian yang luka dengan kain bersih bagi menghentikan pendarahan.

Disebabkan kepala Fahd terhantuk, jangan alih atau angkat Fahd kerana sebarang usaha menggerakkan mereka yang mengalami kecederaan leher boleh menjadi amat, amat membahayakan.

Begitu juga dengan mereka yang mengalami kecederaan belakang, tidak boleh dialihkan kecuali terdapat bahaya lain. Biarkan sahaja mereka berbaring.

Sekiranya mangsa muntah dan tiada tanda-tanda patah leher, pusingkan badan mereka ke keadaan mengiring bagi mengelakkan tercekik.

Jangan berikan apa-apa cecair kepada mangsa sama ada yang tidak sedar atau separuh sedar bagi mengelakkan lemas.

Begitu juga, jangan sekali-kali cuba menyedarkan mangsa dengan cara menampar atau menggoncang-goncangkan badannya.

Yang penting, anda perlu bawa bertenang bagi mengelakkan mangsa menjadi panik.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Dr. Rosnah Ramly berkata, bantuan kecemasan merupakan teknik perubatan menyelamatkan nyawa yang mudah diberikan oleh orang biasa kepada mangsa kemalangan.

Sayang, tidak ramai yang menyedari akan kepentingannya terutama golongan ibu bapa, jauh sekali menyimpan peti kecemasan di rumah.

``Bantuan kecemasan biasanya diberikan dalam keadaan kecederaan perubatan sebelum campur tangan doktor atau paramedik.

``Ia boleh jadi sesiapa sahaja baik ahli keluarga, kawan-kawan atau orang tidak dikenali yang kebetulan berada di tempat kejadian,'' katanya.

Menurutnya, selama tiga, empat minit sahaja masa diambil sebelum saluran pernafasan tersumbat membunuh seseorang tetapi untuk membawa mangsa ke hospital atau menanti ketibaan ambulans memerlukan masa yang jauh lebih lama.

Justeru, prosedur mudah seperti membuka saluran pernafasan melalui CPR boleh menyelamatkan nyawa seseorang sementara menanti ketibaan bantuan profesional.

``Bantuan kecemasan yang dilakukan dengan betul boleh menyelamatkan nyawa seseorang terutamanya jika mangsa mengalami pendarahan teruk, tidak boleh bernafas atau keracunan.

``Malah, ia juga boleh menghalang masalah perubatan yang lebih teruk atau komplikasi yang mungkin berpunca daripada kecederaan atau kesakitan tersebut,'' kata Dr. Rosnah yang juga pakar perubatan (kesihatan awam).

Beliau berkata, bantuan kecemasan bertujuan memanjangkan jangka hayat, mengelakkan akibat lebih buruk daripada kecederaan yang dialami dan merangsang pemulihan.

Kemalangan, ujarnya, merupakan salah satu penyebab utama kemasukan dan kematian di hospital-hospital kerajaan.

Berdasarkan Laporan Epidemiologi Kecederaan di Malaysia, rumah menduduki tangga kedua selepas jalan raya sebagai lokasi paling kerap berlaku kemalangan.

``Kanak-kanak berusia bawah 10 tahun paling banyak mengalami kecederaan sesuai alam penerokaan mereka yang penuh adventurous.

``Insiden kanak-kanak lelaki lebih ketara berbanding perempuan dengan Melayu paling ramai terlibat iaitu sebanyak 54.8 peratus manakala India dan Cina masing-masing 17.3 dan 11.7 peratus,'' katanya.

Kecederaan paling banyak berlaku di halaman rumah diikuti dengan di dapur.

Waktu di antara pukul 4 petang hingga 8 malam dikira masa-masa genting di mana kecederaan lebih sering terjadi.

Terjatuh (disebabkan oleh tergelincir, tersandung, terlanggar atau terhantuk) menjadi punca utama kecederaan sambil disusuli oleh luka dan tercucuk benda-benda tajam.

Keracunan minyak tanah adalah biasa di kalangan kanak-kanak (52.6 peratus) terutamanya bayi manakala keracunan racun serangga lebih popular di peringkat remaja dan dewasa.

Sementara itu, kebanyakan luka terbakar berpunca daripada cecair mahupun pepejal yang panas.

Permukaan lantai, tangga, barangan perabot, alat permainan dan baby walker merupakan antara beberapa faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada berlakunya kecederaan.

Kata Dr. Rosnah, terdapat beberapa cara yang boleh diambil untuk mengelak atau mengurangkan kecederaan di rumah, terutamanya di kalangan kanak-kanak yang lebih terdedah kepada risiko ini.

Kecederaan yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak adalah terjatuh, keracunan, lemas, terbakar, tertelan benda asing dan kejutan elektrik.

``Memanglah kita tidak dapat memastikan kanak-kanak terhindar sepenuhnya dari mendapat kemalangan dan kecederaan.

``Tetapi, kita boleh mengambil langkah-langkah keselamatan tertentu di persekitaran dan di dalam rumah sekali gus mengurangkan kesan kecederaan sekiranya ia terjadi,'' tegasnya.



No comments: